FAEDAH BERGOTONG-ROYONG
Gotong-royong atau merarau ialah melakukan sesuatu kerja secara beramai-ramai.
Gotong-royong banyak memberi faedah kepada ahli masyarakat yang
melaksanakannya. Aktiviti ini dapat memupuk rasa cinta akan alam sekitar dan
menghargai ciptaan Allah. Masyarakat Melayu tradisional memang tebal dengan
semangat bergotong royong dalam
melakukan sesuatu kerja.
Secara
tidak langsung amalan gotong royong dapat mengeratkan hubungan sesama ahli di
dalam sesuatu masyarakat. Ia akan memberi peluang kepada ahli sesebuah
masyarakat itu untuk saling kenal mengenali dan memupuk kemesraan serta
perpaduan sesama mereka. Masyarakat yang bersatu padu adalah masyarakat yang
tidak mudah dikalahkan musuh, bak kata pepatah melayu, ‘Bersatu teguh, bercerai
roboh’.
Sesungguhnya
bergotong royong ini memberikan banyak manfaat kepada sesebuah masyarakat yang
mengamalkannya. Salah satu faedahnya ialah kerja yang berat akan menjadi lebih
ringan apabila dilakukan secara beramai-ramai seperti pepatah melayu, ‘ Berat
sama dipikul, Ringan sama dijinjing’.
Dilihat
dari aspek lain pula, amalan gotong royong yang dilakukan secara berterusan
dapat meningkatkan tahap kesihatan sesebuah masyarakat. Kebersihan adalah asas
kesihatan bak kata pepatah melayu, ‘ Badan sihat otak cergas’. Kesannya
lahirlah sebuah masyarakat yang sejahtera.
Amalan
sebegini juga secara tidak langsung dapat menjimatkan masa. Bak kata pepatah
melayu, ‘ Masa itu emas’. Semakin ramai yang terlibat dalam sesuatu aktiviti
gotong royong maka cepatlah pula sesuatu kerja dapat disiapkan. Kesannya masa
yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk melakukan kerja-kerja lain dan
seterus menyumbang kepada peningkatan produktiviti seseorang.
Berdasarkan
faedah-faedah yang dihuraikan di atas, jelaslah semangat bergotong royong merupakan
sesuatu yang wajar untuk terus dipupuk dalam masyarakat kita. Budaya tradisi
ini tidak wajar dibiarkan luput sekalipun dalam arus kemajuan yang semakin
pesat pada masa kini dan masa akan datang.