Saturday 3 September 2016

Masyarakat Penyayang


MASYARAKAT PENYAYANG



               Dewasa ini, sering kita terleka daripada mengamalkan salah satu nilai murni yang seharusnya diamalkan oleh setiap insan di dunia ini iaitu penyayang. Mereka tidak sedar bahawa sifat atau nilai ini amat penting dalam sesebuah masyarakat walaupun berbeza kaum, agama, budaya dan adat. Hal ini kerana kurangnya penerapan ciri-ciri masyarakat penyayang dalam diri kita. Bagi memupuk semangat masyarakat penyayang, kita seharusnya mengamalkan beberapa ciri-ciri masyarakat penyayang.

                Ciri yang pertama ialah kita sewajarnya menunjukan sikap sayang dan kasih kepada setiap negara yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Hal ini kerana setiap nyawa merupakan perkara yang lebih penting daripada harta benda di dunia ini. Masyarakat seharusnya bersama-sama menjaga keselamatan diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Sebagai contohnya, sekiranya jiran kita berasa dalam keadaan terancam, kita seharusnya berusaha untuk menyelamatkan diri mereka supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

                Ciri kedua pula ialah saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Kita yang tinggal dalam kelompok masyarakat , kita sewajarnya menziarahi jiran-jiran yang berdekatan dengan rumah kita mahupun jiran sekampung pada bila-bila masa. Janganlah pula bila mereka sedang sakit ataupun mereka sudah meninggal dunia, barulah terdetik hati untuk melawatnya. Satu lagi amalan ziarah yang amat digalakkan iaitu menziarahi semasa perayaan kaum-kaum di negara ini. Umpamanya, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, kaum-kaum lain diundang ke majlis rumah terbuka kaum muslim. Begitulah sebaliknya. Amalan ini amat digalakkan untuk mengukuhkan silaturrahim antara kaum. Sesungguhnya amalan ini harus diteruskan demi persefahaman dan kebaikan bersama.

                Selain itu, kita perlulah memupuk sikap prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Sebagai contohnya jika jiran kita mempunyai sebarang masalah atau kesulitan hidup, sebagai jiran, kita haruslah prihatin terhadap masalah mereka dan berusaha untuk membantu sedaya upaya kita. Seperti pepatah yang kita sering dengar iaitu ‘ Hati gajah sama dilapah, Hati kuman sama dicecah’.

                Ciri yang seterusnya ialah mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Semangat bantu membantu dapat dipupuk melalui semangat kejiranan dan seterusnya menepati kehendak ‘Berat sama dipikul, Ringan sama dijunjung’ dalam perbuatan kita seharian. Setiap individu tidak dapat mengelakkan diri daripada masalah kehidupan harian. Oleh itu, kita memerlukan bantuan daripada jiran tetangga untuk menyelesaikan masalah tertentu. Janganlah pula kita memberi pertolongan semata-mata mengharapkan balasan bak kata pepatah ‘Ada udang disebalik batu’.

                Dapatlah disimpulkan, bahawa semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan usaha bagi menjayakan  kempen masyarakat penyayang amatlah ditagih kerana orang bijak pandai pernah berpesan ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.