Tuesday 18 October 2016

Faedah Bergotong-royong




FAEDAH BERGOTONG-ROYONG





                Gotong-royong atau merarau ialah melakukan  sesuatu kerja secara beramai-ramai. Gotong-royong banyak memberi faedah kepada ahli masyarakat yang melaksanakannya. Aktiviti ini dapat memupuk rasa cinta akan alam sekitar dan menghargai ciptaan Allah. Masyarakat Melayu tradisional memang tebal dengan semangat  bergotong royong dalam melakukan sesuatu kerja.

                Secara tidak langsung amalan gotong royong dapat mengeratkan hubungan sesama ahli di dalam sesuatu masyarakat. Ia akan memberi peluang kepada ahli sesebuah masyarakat itu untuk saling kenal mengenali dan memupuk kemesraan serta perpaduan sesama mereka. Masyarakat yang bersatu padu adalah masyarakat yang tidak mudah dikalahkan musuh, bak kata pepatah melayu, ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’.

                Sesungguhnya bergotong royong ini memberikan banyak manfaat kepada sesebuah masyarakat yang mengamalkannya. Salah satu faedahnya ialah kerja yang berat akan menjadi lebih ringan apabila dilakukan secara beramai-ramai seperti pepatah melayu, ‘ Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing’.

                Dilihat dari aspek lain pula, amalan gotong royong yang dilakukan secara berterusan dapat meningkatkan tahap kesihatan sesebuah masyarakat. Kebersihan adalah asas kesihatan bak kata pepatah melayu, ‘ Badan sihat otak cergas’. Kesannya lahirlah sebuah masyarakat yang sejahtera.

                Amalan sebegini juga secara tidak langsung dapat menjimatkan masa. Bak kata pepatah melayu, ‘ Masa itu emas’. Semakin ramai yang terlibat dalam sesuatu aktiviti gotong royong maka cepatlah pula sesuatu kerja dapat disiapkan. Kesannya masa yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk melakukan kerja-kerja lain dan seterus menyumbang kepada peningkatan produktiviti seseorang.


                Berdasarkan faedah-faedah yang dihuraikan di atas, jelaslah semangat bergotong royong merupakan sesuatu yang wajar untuk terus dipupuk dalam masyarakat kita. Budaya tradisi ini tidak wajar dibiarkan luput sekalipun dalam arus kemajuan yang semakin pesat pada masa kini dan masa akan datang.