Sunday 24 July 2016

Gejala Samseng Di Sekolah



GEJALA SAMSENG DI SEKOLAH




Isu disiplin di kalangan pelajar telah sinonim dalam masyarakat kita. Isu demi isu dicanangkan oleh pelbagai pihak namun kes-kes samseng pelajar semakin menakutkan kita semua. Sebenarnya salah satu cara untuk mengatasi kes samseng pelajar ialah mendidik mereka dari awal dengan cara menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar seperti peribahasa ‘melentur buluh biar dari rebungnya dan disini peranan guru amat penting’.

Guru-guru perlulah mengambil tindakan tegas iaitu tindakan secara berperingkat daripada amaran sehinggalah dibuang sekolah. Tindakan sebegini bukanlah untuk menggelapkan masa depan pelajar tetapi adalah cara terbaik supaya ia dijadikan contoh dan tidak diulangi oleh pelajar lain.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum adalah perlu untuk menghindari pelajar melakukan gejala samseng ini. Aktiviti kokurikulum termasuklah unit beruniform, persatuan-persatuan yang dianjurkan oleh sekolah. Penglibatan pelajar dalam aktiviti sebegini dapat membentuk semangat jati diri, menambahkan pengalaman, pengetahuan, memanfaatkan masa dan tidak mudah terpesong untuk melakukan gejala samseng ini.

Pelajar-pelajar perlu berhati-hati memilih rakan kerana rakan adalah pengaruh terbesar yang boleh mengubah pendirian seseorang seperti kata-kata seorang tokoh ilmuan, kawan yang jahat umpama berkawan dengan tukang besi, walaupun tak kena apinya, sekurang-kurangnya kita terkena asapnya, kawan yang baik pula umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, walaupun tidak terkena minyak wanginya, sekurang-kurangnya kita akan mendapat wanginya.

  Pihak kerajaan mesti menggandakan usaha dan tenaga dengan menggandakan usaha dan tenaga dengan mengadakan kempen dan pelbagai aktiviti kurikulum serta kokurikulum yang dapat meningkatkan tahap disiplin pelajar. Pihak anggota keselamatan dan badan-badan bukan kerajaan harus menyokong dengan memberikan bantuan dan kerjasama khususnya kepada pihak sekolah. 

Ceramah : Keruntuhan Moral Di Kalangan Remaja, Punca Dan Cara Mengatasinya


CERAMAH : KERUNTUHAN MORAL DI KALANGAN REMAJA, PUNCA DAN CARA MENGATASINYA



                 Assalamualaikum dan salam satu Malaysia saya ucapkan kepada para penonton khususnya kepada para remaja yang sedang menonton.


                Sebelum saya menyampaikan ceramah saya ini, terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak stesen televisyen kerana sudi menjemput saya berceramah pada pagi ini. Saya berharap ceramah ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua pihak. Tajuk ceramah saya pada pagi ini ia berbunyi ‘Keruntuhan Moral Di Kalangan Remaja, Punca Dan Cara Mengatasinya’.

Para hadirin yang dirahmati sekalian,

                Golongan remaja boleh di definasikan sebagai satu golongan peralihan dari segi sikap, fizikal, mental, emosi , rohani, dan jasmani daripada alam kanak-kanak ke alam dewasa. Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang berusia dalam lingkungan umur tiga belas hingga 20 tahun. Atas hakikat inilah maka sesetengah remaja masih lagi terikut-ikut dengan gaya hidup kanak-kanak dan sesetengahnya pula mahu kelihatan matang seperti orang dewasa. Hal ini mengakibatkan golongan remaja semakin tersepit dalam arus pemodenan Negara dan akhirnya muncullah golongan remaja yang terjerumus dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial.

Hadirin dan hadirat sekalian,

                Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya keruntuhan moral di kalangan remaja. Antaranya ialah faktor kurangnya kawalan diri remaja itu sendiri dengan perkataan lain, remaja gagal mengawal diri apabila berhadapan dengan gejala buruk. Mereka gagal membuat pertimbangan antara yang baik dengan yang buruk. Hal ini menyebabkan remaja mudah terjebak dalam kancah kerunbtuhan moral. Selain itu, remaja pada hari ini tidak mempunyai didikan agama. Ibu bapa mereka tidak mempunyai masa untuk memberi didikan agama disebabkan terlalu sibuk dengan tugas masing-masing. Hal ini menyebabkan anak mereka tidak mempunyai asas keagamaan yang kukuh menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan gejala negatif.

Para hadirin sekalian,

                Kegagalan ibu bapa memupuk nilai murni di kalangan anak-anak mendukacitakan. Apatah lagi jika mereka berkelakuan kurang sopan dan sering melakukan perkara yang bertentang dengan nilai masyarakat timur. Hal ini mungkin disebabkan sikap ibu bapa yang acuh tak acuh terhadap pendidikan anak sewaktu masih kecil. Sekiranya pada masa ini ibu bapa baru menyedari kesilapan mereka, maka kesedaran itu terlambat kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’. Lebih memburukkan keadaan terdapat juga segelintir ibu bapa yang mengubah cara kehidupan mengikut orang barat yang kononnya dikatakan selari dengan peredaran zaman sehingga menjejaskan pemikiran anak-anak untuk melihat kebenaran . Dalam situasi sebegini, remaja tidaklah dapat dipersalahkan sepenuhnya jika ibu bapa sendiri yang menunjukkan contoh yang kurang baik seperti kata pepatah melayu ‘Ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan betul’.

Para hadirin yang dirahmati sekalian,

                Faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam isu keruntuhan moral di kalangan remaja pada masa ini. Antara yang paling menjurus ialah pengaruh rakan sebaya. Remaja mudah terikut-ikut perangai rakan mereka yang negatif dan bertentangan dengan budaya serta agama. Selain itu, pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman mungkin menyebabkan remaja terbabit dalam kegiatan tidak bermoral. Rancangan dari Barat yang menonjolkan ciri-ciri keganasan yang sesuai dengan jiwa remaja yang suka memberontak. Hal ini akan mengakibatkan remaja akan terpengaruh dengan adegan ganas yang sesuai dengan naluri merekayang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.

Hadirin dan hadirat sekalian,

                Sebenarnya banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini. Langkah utama adalah ibu bapa perlulah memberi didikan agama dan moral yang sempurna kepada anak sejak kecil lagi seperti pepatah melayu ‘Melentur buluh biarlah ketika rebungnya’. Ibu bapa perlulah menghantar anak mereka ke kelas agama dan mendedahkan mereka pada majlis keagamaan yang difikirkan perlu. Ini dapat memperkukuhkan kawalan diri remaja. Selain itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan Suasana harmoni di rumah. Ibu bapa yang sering bertengkar menyebabkan anak tidak selesa tinggal di rumah. Akibatnya, remaja yang menghadapi masalah sedemikian suka membuang masa di luar rumah.

Para hadirin sekalian,

                Saya juga ingin menasihatkan para remaja agar berhati-hati memilih rakan sebaya kerana rakan adalah pengaruh terbesar yang boleh mengubah pendirian seseorang. Seperti kata seorang tokoh ilmuan, ‘kawan yang jahat umpama berkawan dengan tukang besi, walaupun tak kena apinya, sekurang-kurangnya kita terkena asapnya, kawan yang baik pula umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, walaupun tidak terkena minyak wanginya, sekurang-kurangnya kita akan mendapat wanginya’. Dalam usia yang meningkat naik, remaja perlu dapat menilai antara yang baik dengan yang buruk. Tidak ada ruginya remaja berkawan dengan orang yang meminati pelajaran, mematuhi agama dan menghormati orang tua.

Hadirin dan hadirat sekalian,

                Ibu bapa juga mestilah bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat tentang pencapaian pelajaran dan kelakuan anak mereka supaya sebarang kelemahan dapat dipebaiki dari masa ke semasa. Pihak sekolah perlu melaksanakan program kokurikulum yang terancang supaya pelajar dapat mengembangkan bakat dalam bidang yang diminati. Hal ini sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan masalah keruntuhan moral di kalangan remaja.

Para hadirin yang dirahmati sekalian,

                Sesungguhnya masalah keruntuhan moral ini dapat dikurangkan seandainya semua pihak berganding bahu. Jika masalah ini dapat diatasi, maka Negara kita akan diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa kelak.

                Sebelum saya mengundurkan diri, fikirlah bahawa zaman remaja hanya sekali. Sekiranya kita tersilap langkah , ia tidak akan berulang lagi. Fikirlah dengan sebijak-bijaknya.

                Dengan ini saya mengakhiri ceramah ini dengan ucapan Assalamualaikum, yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T, yang buruk itu datangnya dari saya.  Sekian terima kasih.          

Adab Kepada Ibu Bapa



ADAB KEPADA IBU BAPA





                Tanpa ibu bapa, tiadalah kita. Ini adalah salah satu slogan kata yang perlu diambil berat oleh semua anak-anak di Malaysia. Ibu bapa adalah insan yang paling bermakna dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita tidak mungkin wujud di alam fana ini.

                Sejak kita lahir sehingga dewasa, merekalah yang membesarkan mendidik kita dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh. Jadi, apabila dewasa kita mestilah membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah minta dibalas.

                Kita hendaklah berbakti kepada ibu bapa, lebih-lebih lagi disaat mereka memerlukan kasih sayang seorang anak ketika usia mereka semakin lanjut. Ketika itulah perhatian dan kasih sayang kita amat diharapkan. Kita harus menjaga mereka sebagaimana mereka memelihara kita dengan penuh kasih sayang.

                Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita haruslah sentiasa mendoakan kebahagian mereka di dunia dan di akhirat serta memelihara kebajikan mereka. Hal ini kerana ibu bapa dapat merasai kegembiraan daripada sikap anak-anak yang menyayangi dan mengambil berat tentang keperluan dirinya.

                Selain itu, kita hendaklah bercakap dengan suara yang lembut dan janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit. Kita hendaklah sentiasa menghubungi mereka dan sentiasa bertanyakan khabar mereka. Selain itu, kita perlulah pulang ke rumah terutama pada hujung minggu mahupun musim perayaan.

                Janganlah kita tempatkan ibu bapa kita di rumah orang-orang tua kerana sudah sedia maklum bahawa rumah orang-orang tua tidak disukai oleh warga tua. Dalam meniti hari tua, mereka sepatutnya bermesra dengan anak dan cucu mereka.