CERAMAH
: KERUNTUHAN MORAL DI KALANGAN REMAJA, PUNCA DAN CARA MENGATASINYA
Assalamualaikum dan salam satu Malaysia
saya ucapkan kepada para penonton khususnya kepada para remaja yang sedang
menonton.
Sebelum
saya menyampaikan ceramah saya ini, terlebih dahulu saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak stesen
televisyen kerana sudi menjemput saya berceramah pada pagi ini. Saya berharap
ceramah ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua pihak. Tajuk ceramah
saya pada pagi ini ia berbunyi ‘Keruntuhan Moral Di Kalangan Remaja, Punca Dan
Cara Mengatasinya’.
Para hadirin yang dirahmati sekalian,
Golongan
remaja boleh di definasikan sebagai satu golongan peralihan dari segi sikap,
fizikal, mental, emosi , rohani, dan jasmani daripada alam kanak-kanak ke alam
dewasa. Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang berusia
dalam lingkungan umur tiga belas hingga 20 tahun. Atas hakikat inilah maka
sesetengah remaja masih lagi terikut-ikut dengan gaya hidup kanak-kanak dan
sesetengahnya pula mahu kelihatan matang seperti orang dewasa. Hal ini
mengakibatkan golongan remaja semakin tersepit dalam arus pemodenan Negara dan
akhirnya muncullah golongan remaja yang terjerumus dalam kegiatan jenayah dan
masalah sosial.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Terdapat
banyak faktor yang menyebabkan berlakunya keruntuhan moral di kalangan remaja.
Antaranya ialah faktor kurangnya kawalan diri remaja itu sendiri dengan
perkataan lain, remaja gagal mengawal diri apabila berhadapan dengan gejala
buruk. Mereka gagal membuat pertimbangan antara yang baik dengan yang buruk.
Hal ini menyebabkan remaja mudah terjebak dalam kancah kerunbtuhan moral.
Selain itu, remaja pada hari ini tidak mempunyai didikan agama. Ibu bapa mereka
tidak mempunyai masa untuk memberi didikan agama disebabkan terlalu sibuk
dengan tugas masing-masing. Hal ini menyebabkan anak mereka tidak mempunyai
asas keagamaan yang kukuh menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan gejala
negatif.
Para hadirin sekalian,
Kegagalan
ibu bapa memupuk nilai murni di kalangan anak-anak mendukacitakan. Apatah lagi
jika mereka berkelakuan kurang sopan dan sering melakukan perkara yang
bertentang dengan nilai masyarakat timur. Hal ini mungkin disebabkan sikap ibu
bapa yang acuh tak acuh terhadap pendidikan anak sewaktu masih kecil. Sekiranya
pada masa ini ibu bapa baru menyedari kesilapan mereka, maka kesedaran itu
terlambat kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’. Lebih memburukkan keadaan terdapat
juga segelintir ibu bapa yang mengubah cara kehidupan mengikut orang barat yang
kononnya dikatakan selari dengan peredaran zaman sehingga menjejaskan pemikiran
anak-anak untuk melihat kebenaran . Dalam situasi sebegini, remaja tidaklah
dapat dipersalahkan sepenuhnya jika ibu bapa sendiri yang menunjukkan contoh
yang kurang baik seperti kata pepatah melayu ‘Ibu ketam yang mengajar anaknya
berjalan betul’.
Para hadirin yang dirahmati sekalian,
Faktor
persekitaran juga memainkan peranan penting dalam isu keruntuhan moral di
kalangan remaja pada masa ini. Antara yang paling menjurus ialah pengaruh rakan
sebaya. Remaja mudah terikut-ikut perangai rakan mereka yang negatif dan
bertentangan dengan budaya serta agama. Selain itu, pengaruh-pengaruh luaran
dan dalaman mungkin menyebabkan remaja terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.
Rancangan dari Barat yang menonjolkan ciri-ciri keganasan yang sesuai dengan
jiwa remaja yang suka memberontak. Hal ini akan mengakibatkan remaja akan
terpengaruh dengan adegan ganas yang sesuai dengan naluri merekayang sentiasa
ingin mencuba sesuatu yang baru.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Sebenarnya
banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini. Langkah utama
adalah ibu bapa perlulah memberi didikan agama dan moral yang sempurna kepada anak
sejak kecil lagi seperti pepatah melayu ‘Melentur buluh biarlah ketika
rebungnya’. Ibu bapa perlulah menghantar anak mereka ke kelas agama dan
mendedahkan mereka pada majlis keagamaan yang difikirkan perlu. Ini dapat
memperkukuhkan kawalan diri remaja. Selain itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan
Suasana harmoni di rumah. Ibu bapa yang sering bertengkar menyebabkan anak
tidak selesa tinggal di rumah. Akibatnya, remaja yang menghadapi masalah
sedemikian suka membuang masa di luar rumah.
Para hadirin sekalian,
Saya
juga ingin menasihatkan para remaja agar berhati-hati memilih rakan sebaya
kerana rakan adalah pengaruh terbesar yang boleh mengubah pendirian seseorang.
Seperti kata seorang tokoh ilmuan, ‘kawan yang jahat umpama berkawan dengan
tukang besi, walaupun tak kena apinya, sekurang-kurangnya kita terkena asapnya,
kawan yang baik pula umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, walaupun
tidak terkena minyak wanginya, sekurang-kurangnya kita akan mendapat wanginya’.
Dalam usia yang meningkat naik, remaja perlu dapat menilai antara yang baik
dengan yang buruk. Tidak ada ruginya remaja berkawan dengan orang yang meminati
pelajaran, mematuhi agama dan menghormati orang tua.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Ibu
bapa juga mestilah bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat
tentang pencapaian pelajaran dan kelakuan anak mereka supaya sebarang kelemahan
dapat dipebaiki dari masa ke semasa. Pihak sekolah perlu melaksanakan program
kokurikulum yang terancang supaya pelajar dapat mengembangkan bakat dalam
bidang yang diminati. Hal ini sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan masalah
keruntuhan moral di kalangan remaja.
Para hadirin yang dirahmati sekalian,
Sesungguhnya
masalah keruntuhan moral ini dapat dikurangkan seandainya semua pihak
berganding bahu. Jika masalah ini dapat diatasi, maka Negara kita akan
diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa kelak.
Sebelum
saya mengundurkan diri, fikirlah bahawa zaman remaja hanya sekali. Sekiranya
kita tersilap langkah , ia tidak akan berulang lagi. Fikirlah dengan sebijak-bijaknya.
Dengan
ini saya mengakhiri ceramah ini dengan ucapan Assalamualaikum, yang baik itu
datangnya dari Allah S.W.T, yang buruk itu datangnya dari saya. Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment