Sunday 24 July 2016

Adab Kepada Ibu Bapa



ADAB KEPADA IBU BAPA





                Tanpa ibu bapa, tiadalah kita. Ini adalah salah satu slogan kata yang perlu diambil berat oleh semua anak-anak di Malaysia. Ibu bapa adalah insan yang paling bermakna dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita tidak mungkin wujud di alam fana ini.

                Sejak kita lahir sehingga dewasa, merekalah yang membesarkan mendidik kita dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh. Jadi, apabila dewasa kita mestilah membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah minta dibalas.

                Kita hendaklah berbakti kepada ibu bapa, lebih-lebih lagi disaat mereka memerlukan kasih sayang seorang anak ketika usia mereka semakin lanjut. Ketika itulah perhatian dan kasih sayang kita amat diharapkan. Kita harus menjaga mereka sebagaimana mereka memelihara kita dengan penuh kasih sayang.

                Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita haruslah sentiasa mendoakan kebahagian mereka di dunia dan di akhirat serta memelihara kebajikan mereka. Hal ini kerana ibu bapa dapat merasai kegembiraan daripada sikap anak-anak yang menyayangi dan mengambil berat tentang keperluan dirinya.

                Selain itu, kita hendaklah bercakap dengan suara yang lembut dan janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit. Kita hendaklah sentiasa menghubungi mereka dan sentiasa bertanyakan khabar mereka. Selain itu, kita perlulah pulang ke rumah terutama pada hujung minggu mahupun musim perayaan.

                Janganlah kita tempatkan ibu bapa kita di rumah orang-orang tua kerana sudah sedia maklum bahawa rumah orang-orang tua tidak disukai oleh warga tua. Dalam meniti hari tua, mereka sepatutnya bermesra dengan anak dan cucu mereka.

No comments:

Post a Comment